Pesaka tangkis tanggapan negatif – Sinar Harian

•Mac 3, 2010 • 1 Komen

SEMANTAN – Persatuan Silat (Pesaka) Daerah Raub memperbanyakkan cabang seni mempertahankan diri tradisional sebagai menangkis tanggapan negatif masyarakat terhadap seni silat itu.

Seni Silat Gayong Pancasila Daerah Raub juga berusaha mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap ilmu yang dicurahkan hanya bertujuan untuk membina jati diri.

Guru Seni Silat Gayong Pancasila, Kamarazaman Alias berkata, masyarakat hari ini memandang serong terhadap seni tradisional lambang jati diri masyarakat Melayu ini dengan gambaran mencampurkan unsur-unsur negatif sebagai teknik pembelajaran.

Menurutnya, tanggapan tersebut perlu dibuang daripada mempengaruhi pemahaman golongan muda sekali gus bertindak menjauhi amalan seni budaya warisan tersebut.

“Seni Silat Melayu lebih mengutamakan prinsip jati diri Melayu sejati di samping memupuk sikap positif peserta yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

“Tidak dinafikan seni silat ini tidak lagi relevan untuk dijadikan persediaan menghadapi peperangan seperti zaman dahulu, tetapi kita boleh menjadikannya sebagai panduan untuk persediaan mental yang kuat menghadapi cabaran kehidupan hari ini,” katanya pada majlis perasmian Tamat Latihan Perguruan Seni Silat Gayong Pancasila di padang Kampung Ria, di sini kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Arif Fadzilah Abu Samah, guru Seni Silat Gayong Pancasila Daerah dan Ahli Jawatankuasa Pesaka Daerah Raub.

Kamarazaman berkata, dua jurulatih turut memberi sepenuh komitmen terhadap latihan yang dijalankan selama enam bulan iaitu Mustafa Musa dan Mohd Faizal Ludin.

Menurutnya, persatuan seni silat itu menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Abdul Aziz Mat Kiram berupa peralatan latihan dan juga pakaian seragam yang digunakan semasa persembahan serta latihan.

“Masyarakat khasnya Melayu perlu memberi sokongan penuh terhadap seni warisan budaya tradisional seperti ini agar ia kekal segar menjadi amalan generasi seterusnya.

“Tidak perlu terlalu mengagungkannya, tetapi cukuplah sekadar tersemat rasa bangga dengan cebisan tinggalan nenek moyang kita ini dan berusaha memelihara kebaikannya untuk diserap generasi muda,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai golongan muda tampil menyertai sebarang bentuk seni silat tradisional dan mendapatkan maklumat lengkap daripada Jawatankuasa Pesaka untuk membuat pilihan berdasarkan minat masing-masing.

Persatuan Silat Daerah Raub

•Mac 2, 2010 • Tinggalkan Komen

Assalamualaikum.. Alhamdulillah kini Pesaka Raub memiliki blog sebagai medan bertukar cerita dan berita dari daerah Raub atau daerah yang lainnya.

Tujuan hanyalah satu, menghebahkan dan mengarkibkan segala aktiviti dan berita mengenai silat . InsyaAllah..